Followers

Friday, 17 December 2010

Penangan komedi kampung

Kutipan Hantu Kak Limah Balik Rumah hampiri RM3 juta selepas seminggu ditayang

MEMPEROLEHI kutipan kasar RM2.7 juta selepas seminggu ditayangkan menerusi 48 panggung di seluruh negara, bukan sekadar memberi kelegaan tetapi juga senyuman bangga kepada penerbit filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, Gayatri Su-Lin Pillai. 

Tanpa teragak-agak, Gayatri mengaku kutipan sebanyak itu menjadikan Hantu Kak Limah Balik Rumah dianggap tertinggi dikalangan filem yang diterbitkan oleh Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB).
“Saya rasa angka kutipannya akan terus meningkat berdasarkan sambutannya yang masih tinggi. Ya! Saya akui kutipan Hantu Kak Limah Balik Rumah ini memang yang tertinggi dikalangan filem terbitan Tayangan Unggul,” katanya kepada Hip.


Gayatri berkata, dia memang menjangka filem Hantu Kak Limah Balik Rumah mendapat sambutan baik daripada penonton tetapi tidak menduga maklum balas penonton amat memberangsangkan sehingga mencetuskan ‘fenomena’ tersendiri. 

Menurutnya, beberapa nama watak dan dialog dalam filem itu juga menjadi sebutan serta ikutan penonton yang sesetengahnya menonton lebih daripada dua kali. 

“Kemungkinan penerbit filem sudah kurang memberi tumpuan kepada komedi kampung dan loghat negeri menjadikan filem ini mendapat sambutan baik daripada penonton. 

“Apabila kami menerbitkan gaya filem seperti itu, ia menjadikan Hantu Kak Limah Balik Rumah sebagai suatu persembahan yang segar kepada penonton. Pada saya, kekuatan filem ini adalah kerana sentuhan pengarahnya, Mamat Khalid yang kelakar, dekat dengan hati penonton, mudah dan ringkas. 
“Faktor lain kerana barisan pelakonnya seperti Awie yang jadi Usin, Pak Uda (Zami Ismail), Pak Jabit (Man Kadir) dan pemilihan bakat baru seperti Ummi Nazeera yang melakonkan watak Che Nin, Johan Raja Lawak sebagai Abi Hurairah serta kekuatan watak pembantu utama, Usop lakonan Syed Asri Mohamed atau Sy8, menjadikan ia satu gabungan cukup menarik,” katanya. 

Biarpun dilihat sebagai filem komedi kampung, tetapi itulah yang membuatkan penonton berasa dekat dengan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. Pengisian filem ini, walaupun disampaikan dalam bentuk jenaka dan nampak macam ringan sahaja, tetapi ia tetap padat dan sinis. 

Walaupun bercorak seram, drama dan komedi, sebagai pengarah, Mamat juga turut menyuntik elemen muzikal seperti menampilkan Awie menyanyikan lagu Cinta Kristal yang pernah dipopularkan oleh Rahim Maarof. 

Ia bukan saja untuk mengendurkan ketegangan tetapi juga dapat mengendurkan rasa ketakutan penonton selain hiburan tambahan kepada penonton. 

Mengenai kemungkinan sambungan Hantu Kak Limah Balik Rumah, Gayatri berkata, Mamat Khalid ada menyuarakan perkara itu dan TUSB sedang menimbang perkara itu. 

“Rasanya tuan pengarah (Mamat Khalid) memang cuba memastikan saya bersetuju dengan cadangan menerbitkan Zombie Ultimatum dengan adanya sedikit watak tergantung menerusi watak Ayu (lakonan Avaa Vanja) pada penghujung Hantu Kak Limah Balik Rumah. 

“Pandai Mamat Khalid. Tapi kami memang sudah lama membincangkan pasal trilogi filem Zombie Kampung Pisang,” katanya. 

Mengulas mengenai penayangannya hanya menerusi 48 panggung sahaja, Gayatri menjelaskan, soal tidak yakin terhadap filem Hantu Kak Limah Balik Rumah sebenarnya tidak timbul sebaliknya memang TUSB sentiasa memberi tumpuan kepada panggung yang boleh memberikan kutipan tinggi. 

“Memang jumlah panggung yang menayangkan filem ini dalam lingkungan bajet kita. Paling banyak sesebuah filem terbitan TUSB ditayangkan ialah 55 panggung. Tidak lebih daripada itu. 

“Saya rasa jumlah panggung yang menayangkan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah adalah memadai. Adalah lebih baik kita memberi tumpuan ke atas panggung yang boleh memenuhi sasaran kutipan. 

“Ditayangkan dalam banyak panggung belum tentu boleh menghasilkan kutipan yang tinggi. Kadang-kadang boleh mengurangkan angka kutipan pula,” jelasnya. 
Jumlah 48 panggung yang menayangkan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah sebenarnya agak kecil bilangannya berbanding dengan filem Ngangkung yang ditayangkan di 68 panggung. 

Kemungkinan ada sambungan 

DALAM mengulas sambutan hangat filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, Mamat berkata, kejayaan itu juga membuatkan beliau boleh terus berkarya bersama Tayangan Unggul. 

“Saya tidak nafikan TUSB banyak memberi peluang untuk terus berkarya. Bukan itu saja, mereka juga memberi peluang untuk saya menghasilkan apa jenis filem yang saya suka. 

“Filem pertama dengan TUSB ialah Man Laksa. Oleh kerana filem itu kurang dapat sambutan, saya minta TUSB bagi peluang dengan janji filem berikutnya pasti mendapat sambutan. Jadi, saya buat filem Zombie Kampung Pisang. Dan filem itu memang dapat sambutan. 

“Selepas itu, TUSB bagi peluang menghasilkan filem yang saya idam--idamkan iaitu bercorak hitam putih. Lahirlah filem Kala Malam Bulan Mengambang. Filem itu memang tidak mendapat sambutan walaupun menang banyak hadiah dalam festival filem. 

“Saya bercakap kepada TUSB untuk buat filem yang boleh ‘menampung kerugian’ Kala Malam Bulan Mengambang. Mereka bersetuju dan lahirkan Hantu Kak Limah Balik Rumah. Sudah tentu saya bangga filem bukan saja mendapat sambutan tetapi turut menjadi bualan daripada penonton,” katanya. 

Mengenai sambungan Hantu Kak Limah Balik Rumah, Mamat berkata, beliau memang ada perancangan untuk membuatnya tetapi ia masih tertakluk kepada masa dan persetujuan daripada TUSB. 

“Dalam kepala saya, ada macam-macam idea. Saya nak panggil balik Que Haidar dan AC Mizal yang pernah digandingkan dalam Zombie Kampung Pisang,” katanya. 
Reaksi kOrang:

1 beri komen di sini: