Friday, 19 February 2016

Melakar Panorama Indah di Merlimau

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Setelah lama merancang untuk review kawasan di Merlimau, akhirnya dapat jua dilaksanakan bersama Encik Suami a.k.a. Otomen Taro.

LeYa Blog

Merlimau yang terletak di antara pertengahan perjalanan antara Bandaraya Melaka dan Bandar Muar, Johor. Jaraknya adalah kira-kira 23 km dari Bandaraya Melaka dan Muar serta 22 km selatan dari bandar JasinPekan Merlimau telah dikategorikan sebagai Bandar Merlimau berikutan pertumbuhan dan kemudahan yang telah dibangunkan.

Sejarah Merlimau

Merlimau, Terhasil Dari Perbuatan Melimau Keris Dan Mara Rimau
Ramai orang-orang tertanya-tanya tentang asal nama "Merlimau" atau bagaimana Merlimau dapat namanya. Dari tradisi lisan atau cerita-cerita mulut terdapat dua cerita. Seperti yang diperkatakan ada dua kelompok keturunan terbesar di Merlimau iaitu Bugis dan Palembang.
Cerita pertama: Sumber orang-orang Palembang
Dikatakan orang-orang Melayu dahulu sangat pandai bermain senjata istemewanya keris. Mereka adakan latihan bersilat, berpencak atau seni mempertahankan diri setiap hari. Masing-masing mempunyai keris sebagai senjata persendirian yang dibawa ke mana-mana mereka pergi untuk mempertahankan diri dan menentang musuh. Keris ini dijaga dan dipelihara. Cara menjaganya ialah "diusap dan dilimau". Ini bermakna keris mereka mesti diusap dengan kemenyan dan diurut dengan limau. Tradisi merlimau keris ini masih terdapat dikalangan masyarakat Melayu khasnya yang menyimpan keris pusaka. Upacara ini dinamakan "Upacara Merlimau Keris". Setiap malam jumaat keris mereka mesti dilimau. Dalam upacara ini mereka berkumpul di rumah Tok Guru untuk melimau keris. Bila ditanya, "Hendak ke mana?". Mereka menjawab, "Hendak Melimau ", Hendak Melimau dan akhirnya tempat itu dinamakan "MERLIMAU".
Sumber kedua: Cerita Keturunan Bugis
1511 Pembesar Orang Bugis yang berhijrah ke Merlimau ialah Datuk Kaya Makmun. Beliau pada asalnya telah menebas, menebang hutan untuk membuat kawasan kediaman. Waktu itu di pedalaman atau di hulu sungai Merlimau adalah hutan yang tidak pernah diterokai orang. Hutan belantara yang begitu besar dikatakan banyak didiami oleh binatang buas terutama harimau. Harimau banyak sentiasa mengancam pendatang baru ini kerana mereka tinggal di pinggir hutan tebal. Sehubungan dengan itu Datuk Kaya mengarahkan orang-orang mereka membuat pagar menahan serangan atau menahan bahaya harimau. Dalam bahasa dahulu disebut "mara rimau" kita buat pagar, tahan mara rimau, tahan mara rimau" oleh kerana mara rimau ini mengancam hidup , mereka menamakan tempat ini sebagai Mara Rimau, Mara Rimau dan akhirnya menjadi "MERLIMAU".


LeYa Blog

LeYa Blog

Rumah Penghulu Abdul Ghani bin Abdul Majid yang berada di Merlimau ini merupakan antara Rumah Melaka Tertua yang masih berdiri megah dan ia adalah rumah Tradisional Melayu yang tercantik di negara ini. Rumah Penghulu ini mempunyai seni bina yang sangat unik dengan gabungan gaya seni bina Melayu, Cina dan Eropah.Rumah ini pernah didiami oleh seorang ketua masyarakat yang menjawat jawatan sebagai Demang atau Ketua Penghulu iaitu Penghulu Abdul Ghani bin Abdul Majid dan juga anaknya Penghulu Natar bin Abdul Ghani.Segala peralatan perabot di rumah tersebut adalah gaya Eropah seperti meja, almari, kerusi dan katil yang jauh berbeza dengan cara Melayu yang pada kebiasaannya duduk bersila..


LeYa Blog

LeYa Blog

Perigi Portugis ini terletak berhampiran Makam Tun Teja di Kampung Pengkalan Samak. Lokasi Perigi Portugis hanya 5 minit memandu dari pekan Merlimau.

Perigi ini digali oleh tentera Portugis ketika pemerintahan Portugis di Melaka selama 130 tahun. Sultan Mahmud Syah melarikan diri ke Johor selepas kejatuhan Dinasti Melaka. Baginda sering menyerang Portugis supaya mendapatkan semula Melaka. Askar-askar telah ditempatkan di sana untuk melindungi Merlimau dari serangan musuh.

LeYa Blog

LeYa Blog

"Tun Teja Ratna Benggala nama penuhnya, anak perempuan tunggal Bendahara Seri Amar Diraja dari Pahang ketika pemerintahan Sultan Abdul Ghaffur Syah, Sultan Pahang ketiga, sezaman dengan Sultan Mahmud Syah, Sultan Melaka ke 8. Tun Teja dikatakan terlalu elok rupa parasnya dan menjadi sebutan orang-orang yang berdagang di Pahang, namun begitu telah pun ditunangkan dengan Sultan Pahang. Khabar kecantikan Tun Teja hingga ke pengetahuan Sultan Mahmud Syah yang ketika itu telah pun kematian isterinya yang pertama, Tun Kecil. Baginda telah menghantar utusan peminangan ke Pahang namun ditolak oleh Bendahara Seri Amar Diraja berikutan pertunangan Tun Teja dengan Sultan Pahang.
Tun Teja disebut dalam dua hikayat Melayu lama, iaitu Hikayat Hang Tuah yang menyatakan Hang Tuahlah yang memujuk Tun Teja lari tetapi dalam Sejarah Melayu ia dikatakan Hang Nadim.
Tersebut pula kisah Hang Nadim yang merupakan Laksamana Melaka yang telah diutuskan ke India untuk membeli 40 gulung kain namun malangnya kapal beliau telah karam dipukul ribut. Bimbang akan kemurkaan Sultan Mahmud, Hang Nadim telah pergi ke Pahang untuk bertemu dengan Tun Teja. Sesampainya Hang Nadim ke Pahang, baliau telah membuat perhubungan dengan orang-orang istana hinggakan tiada orang curiga lagi akan niatnya. Tun Teja di pujuk rayu dan Hang Nadim menceritakan tentang kebaikan rupa paras Sultan Mahmud dan kegagahan kerajaan Melaka. Tun Teja termakan pujuk dan bersetuju untuk mengikut Hang Nadim pulang ke Melaka.
Hang Nadim merancang akan rancangan untuk melarikan Tun Teja ke Melaka dan perjalanannya memakan masa selama 40 hari. Sesampainya Hang Nadim ke Melaka, beliau telah meniarap dilantai balai istana dengan tangan seakan terikat kebelakang. Melalui kata-kata kiasan, tahulah baginda bahawa Hang Nadim telah berjaya memujuk Tun Teja ke Pahang dan akan dipersembahkan kepada baginda. Tun Teja dikahwini baginda dan dikurniakan seorang puteri, Tengku Amra Dewi.
Tun Teja telah jatuh gering yang berat dan mangkat sewaktu Portugis mula menyerang Melaka yang pada ketika itu Sultan Mahmud Syah dan orang-orang kerajaan Melaka berundur ke Muar, pada tahun 1511. Tun Teja telah dimakamkan di Merlimau, sekitar 24 km daripada bandar Melaka."
LeYa Blog

LeYa Blog

Sudah tentu anda penat berjalan di kawasan sekitar Merlimau kan? Di sini juga terdapat penginapan yang menarik untuk diinap oleh sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini. 

Bagi yang ingin menginap di kawasan Bandar Merlimau, anda boleh terus pergi ke Merlimau Inn dan bersedia membuat tempahan bilik di situ. Berkonsepkan kayu, ia amat sesuai dengan kawasan persekitaran Merlimau yang menyimpan 1001 kisah sejarah.

LeYa Blog

Ingin menginap dengan suasana kampung halaman? Idham Mutiara Resort yang terletak di Serkam menyajikan pemandangan yang indah di tepi pantai dan ia juga berkonsepkan suasana kampung halaman. Memang seronok berkunjung ke tempat-tempat bersejarah di negara kita ini. Selain dapat menambahkan pengetahuan, kita juga dapat menikmati keindahan ciptaan Tuhan yang sangat indah sekali.

LeYa Blog

LeYa Blog

Penat di siang hari berjalan melawat tapak sejarah yang berada di Merlimau, kita sajikan pula perut kita dengan Ikan Bakar di Umbai. Lokasi Ikan Bakar Parameswara, Umbai memang terkenal sejak dulu lagi. Ramai pengunjung dari dalam dan luar Melaka akan datang ke sini untuk menikmati juadah makan malam bersama keluarga. 

LeYa Blog

LeYa dan Otomen seringkali mencipta ruang untuk menambaik nilai estetika dalam setiap penulisan di blog. Semoga dengan perkongsian dari LeYa, amat berguna buat anda yang sedang mencari tempat menarik untuk dilawati. 
LeYa Blog

Sumber Sejarah: Wikipedia dan Google

Photographer: En Suami a.k.a. Otomen Taro
Editing: LeYa
Reaksi kOrang:

0 beri komen di sini: